Musuh-musuh Islam menggunakan fahaman ini bagi memecahkan perpaduan umat Islam. Mereka bertindak melalui saluran politik dengan menggalakkan kewujudan negara-negara yang berasaskan fahaman ini dikalangan umat Islam. Akhirnya, negara-negara Islam dipisahkan melalui sempadan negara atau ditiupkan semangat kebangsaan negara masing-masing sehingga mereka tidak mempedulikan nasib yang menimpa umat Islam di negara lain.

Melalui saluran pendidikan pula, golongan ini cuba menghidupkan kembali sejarah zaman jahiliah bangsa masing-masing dan menenggelamkan sejarah Islam sendiri. Contohnya menghidupkan semula sejarah Firaun di kalangan rakyat Mesir, sejarah Majusi di Iran, sejarah penyembahan patung Baalbek di Lubnan, sejarah hidup orang Hindu dan Buddha di India dan alam Melayu. Pengajian ini disampaikan melalui pengajian-pengajian rasmi di sekolah, media massa atau projek cari gali artifak simpanan orang-orang Jahiliah. Apabila terdapat penemuan, penemuan itu dipuja dan dibanggakan. Adakala projek ini dibiayai oleh badan-badan antarabangsa dengan perbelanjaan yang besar. Bajet projek ini jauh lebih besar dan utama daripada perbelanjaan membantu mangsa-mangsa kebuluran di beberapa daerah di dunia ini.

Ketika negara Islam ditinggalkan penjajah, mereka menyerahkan kuasa pemerintahannya kepada golongan bersemangat nasionalis. Golongan yang berjuang menentang penjajah sehingga korban syahid, meringkuk dalam tahanan penjara dan pembuangan negeri golongan Islam dan para sarjananya dilupakan. Sebaliknya, golongan-golongan nasionalis pada zaman penjajahan sebenarnya terdiri daripada anak-anak negeri yang menjadi pegawa-pegawai kepada penjajah.
Kuliyah Jumaat 30 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu